Teks ucapan Ketua Pemuda Negeri Pulau Pinang Hng Chee Wey

HngCheeWey 20150920 Youth SDCPersidangan Perwakilan Tahunan Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang 2015

Teks ucapan Ketua Pemuda Negeri Pulau Pinang Hng Chee Wey

Baru-baru ini, Negara kita telah menghadapi keadaan politik yang begitu tidak stabil dan tidak menentu. Kita telah melihat pelbagai bantahan terhadap pemerintahan kerajaan Negara, semangat patriotik yang kian menghilang, keadaan politik parti dalaman mahupun di luar yang tegang, perhimpunan besar-besaran di kawasan Bandar-bandar besar dan pelbagai lagi isu-isu yang tidak diingini.

Minggu lepas, kita telah melihat ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ yang berbaju merah membuat perhimpunan di ibu kota, Kuala Lumpur. Walaupun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku; namun adalah amat sedih bahawa walaupun namanya adalah ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ tetapi fokusnya adalah terhadap golongan Melayu. Adakah ‘Rakyat’ hanya terdiri daripada kaum Melayu sahaja? Tidakkah rakyat Malaysia juga terdiri daripada kaum-kaum lain?

Yang lebih memedihkan hati lagi adalah terdapat peserta-peserta himpunan tersebut yang berarak dengan mengambil sepanduk ataupun banner yang menyatakan supaya sekolah-sekolah vernakular dihapuskan. Perkara-perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan ianya merosakkan perpaduan dan keharmonian Negara.

Dalam Perlembagaan Persekutuan juga Perkara 12 (2); adalah termaktub bahawa “Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri.”

Selain itu, ia juga dinyatakan di dalam Malaysian Education Blueprint bahawa sekolah-sekolah vernakular akan diteruskan untuk kepentingan semua kaum-kaum di Malaysia.

Ia adalah jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan telah memberikan kebebasan bagi semua pihak untuk menubuhkan institusi pendidikan masing-masing. Sekiranya, terdapat golongan yang berpendapat bahawa sistem pendidikan tersebut harus ditukar, gunalah proses dan amalan yang betul dan bukan semata-mata ingin menunjukkan perasaan tidak puas hati dan mengeluarkan kata-kata yang menjejaskan keharmonian yang telah kita bersama-sama bina sejak Negara ini merdeka! Proses dan amalan yang betul juga bermaksud pemindaan sebarang undang-undang atau perlembagaan demi kepentingan bersama yang baik dan bukan hanyalah untuk meraih undi seperti yang telah dibuat oleh PAS yang membentangkan Rang Undang-undang Ahli Persendirian untuk melaksanakan Hudud.

Kita juga haruslah memberi penekanan bahawa pendidikan haruslah diasingkan daripada agama; begitu juga dengan agama dengan politik.

Sebagai sebahagian daripada masyarakat ini, kita harus memahami bahawa dalam setiap keluarga, tempat kerja, bangunan dan masyarakat mempunyai peraturan dan undang-undangnya tersendiri mahupun secara bertulis ataupun secara lisan. Ini juga sama apabila kita ingin mengadakan perhimpunan awam tidak kira untuk apa-apa tujuan. Perhimpunan awam yang diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa adalah digalakkan dan sebarang garis panduan yang ditentukan harus dipatuhi. Sekiranya sesebuah perhimpunan awam diadakan tanpa kebenaran atau tidak mengikuti garis panduan yang tidak ditetapkan, pihak berkuasa tidak harus bertoleransi terhadap penganjur-penganjur mahupun peserta-peserta; dan tindakan yang sewajarnya harus diambil terhadap mereka.

Saudara-saudara sekalian,

Perumahan merupakan satu dilemma yang dihadapi oleh pemuda-pemudi pada masa kini, terutamanya di negeri Pulau Pinang. Harga perumahan yang telah meningkat dengan mendadak sekali dan kekurangan pembinaan rumah kos rendah sederhana menyebabkan ramai yang tidak berupaya memiliki rumah mereka sendiri. Berapa banyakkah belia-belia yang telah menerima ijazah dan keluar bekerja mampu membeli rumah di Pulau Pinang. Tidak banyak! Segelintir yang mampu membeli mungkin bergantung kepada bantuan keluarga ataupun membeli rumah bersama-sama dengan pasangan mereka. Walaupun masalah gaji yang kurang meningkat adalah salah satu punca daripada masalah pemilikan rumah, akan tetapi punca yang utama adalah sikap kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pemaju yang membina perumahan mewah yang mahal. Polisi ini cuma akan memberikan faedah dan peluang kepada golongan-golongan yang kaya untuk menjadi lebih kaya lagi dengan melabur di bidang hartanah Pulau Pinang.

Selain daripada meningkatkan ekonomi golongan yang kaya sahaja, kerajaan negeri harus juga merancang dan melaksanakan polisi yang dapat memberikan faedah ekonomi kepada rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan terutamanya golongan pertengahan dan miskin yang semakin meluas. Dalam sesebuah Negara membangun, kerajaan harus kerap mengadakan transformasi polisi agar Negara dan rakyat-rakyat tidak akan ketinggalan dari segi ekonomi dan punca pendapatan. Pulau Pinang semenjak tahun 1957 telah bertukar daripada sebuah perkampungan nelayan ke kawasan perindustrian berat di Mak Mandin, Perai. Kemudiannya kita dapat melihat kerajaan memberikan lebih keutamaan dari segi perindustrian di seluruh Pulau Pinang dengan mewujudkan Free Trade Zone di Bayan Lepas. Pada tahun 1990-an pula, kita dapat lihat kerajaan negeri memperkenalkan perindustrian elektronik yang moden dan turut membawa SME di Pulau Pinang ke arena global melalui Penang Development Corporation (PDC). Dari segi pekerjaan, kita dapat lihat secara amnya keperluan pekerjaan di Pulau Pinang bermula daripada nelayan kepada pengendali-pengendali mesin atau lebih dikenali sebagai operator dan seterusnya kita memerlukan jurutera-jurutera elektronik untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan.

Justeru itu, kita tahu bahawa fasa industri eletronik moden ini akan ketinggalan zaman pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kerajaan negeri haruslah memikirkan masa depan rakyat Pulau Pinang dengan merancang pelan ekonomi yang praktikal.

Saudara-saudari sekalian,

Negeri kita yang tercinta, Pulau Pinang adalah antara salah satu tempat tarikan pelancong yang popular lebih-lebih lagi dengan status Tapak Warisan Dunia UNESCO. Semasa musim cuti sekolah, kita dapat melihat kemasukan banyak kereta daripada negeri-negeri lain yang datang melancong di pulau ini. Dengan kemudahan feri, Jambatan Pulau Pinang dan kini Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah; ia telah menyenangkan kemasukan kenderaan ke pulau kita yang kecil ini. Kerajaan Negeri juga telah membuat pengumuman untuk membina terowong bawah laut yang menghubungkan kawasan Butterworth ke Tanjung Bunga. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa dengan kemasukan pelancong-pelancong ke negeri kita dapat merangsangkan ekonomi pelancongan. Akan tetapi, adakah kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai perancangan trafik untuk menghadapi kemasukan kereta yang begitu banyak sekali?

Saudara saudari,

Kebelakangan ini, sejak ciptaan media social seperti Facebook, Twitter dan lain-lain lagi, kita dapat melihat bahawa terdapat banyak belia-belia yang mengambil berat terhadap isu-isu semasa yang berlaku. Ramai yang ‘share’, ‘like’ ataupun ‘comment’ tentang pelbagai isu di media sosial. Ia memang adalah digalakkan untuk meningkatkan penglibatan belia dalam hal-hal isu semasa, tetapi ia memang lagi digalakkan sekiranya belia dapat menyuarakan pendapat mereka dalam platform yang sesuai dan lebih efektif. Kita dapat lihat bahawa terdapat ramai belia yang melibatkan diri dalam pelbagai perhimpunan awam dengan begitu bersemangat akan tetapi bila program-program seperti sesi percambahan minda, sesi dialog, dan pelbagai jenis program jenis akademik diadakan, nampaknya belia tidak begitu berminat.

Kita harus memupuk semangat-semangat belia ini dalam program yang bersesuaian seperti program perbincangan isu semasa dalam peringkat bahagian, daerah ataupun negeri. Hasil perbincangan ini kemudiannya harus disalurkan kepada Parlimen Belia dan Majlis Perundingan Belia yang seterusnya akan dibentangkan sebagai cadangan untuk kerajaan sekiranya sesuai.

Para hadirin sekalian,

Sebagai pemimpin dan juga ahli sebuah parti politik, kami memikul satu tanggungjawab yang penting di dalam pembentukan sesebuah Negara. Sesebuah parti politik haruslah memupuk nilai-nilai murni di dalam generasi-generasi muda. Kita mestilah menanam semangat faham-memahami dan bukannya membangkitkan perasaan benci di antara satu sama lain terutamanya dalam arena politik semata-mata untuk agenda seseorang individu.

Dengan itu, di sini saya ingin menyeru tidak kira menerusi parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan kerajaan ataupun institusi-institusi keluarga; marilah kita bersama-sama berusaha untuk membentuk satu masyarakat yang mempunyai minda yang matang terutamanya apabila mengenai hal-hal isu semasa.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s